Terdapat Usaha 'Memfakirkan' Rakyat


KUALA LUMPUR - Terdapat usaha untuk 'memfakirkan' rakyat yang giat berjalan di media sosial, tegas Pengerusi BNNBC, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurut beliau, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu menanamkan pemikiran masyarakat sehinggakan mereka merasa miskin walaupun hakikatnya dari segi kemampuan rakyat ketika lebih baik berbanding dengan 10 tahun yang lalu.

"Saya harap diambil berat oleh semua rakyat Malaysia bahawa ada usaha-usaha nak menggalakkan pemikiran di mana rakyat rasa seolah-olah fakir, usaha untuk memfakirkan masyarakat supaya rakyat rasa macam mereka miskin. Padahal kemampuan dia lebih daripada kalau dibanding 10 tahun dulu, kita telah menambah kepada kemampuan kita.

"Usaha untuk memfakirkan pemikiran kita merasakan seolah-olah kita ini fakir berjalan melalui media sosial. Dan ini saya harap kita lebih berwaspada bahawa ini adalah satu hasutan, kalau kita nak galakkan orang rasa macam dia fakir dan juga miskin ini adalah satu usaha yang buruk dan merupakan satu hasutan," jelas Shahrir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu subsidi minyak masak serta tindakan sesetengah peniaga yang menyorokkan bekalan minyak masak daripada pengguna.

Mengulas mengenainya, ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan hujah bahawa Malaysia selaku negara pengeluar sawit justeru harganya juga seharusnya murah adalah tidak boleh diterima.

Membandingkan harga di negara ini dengan negara pengeluar utama sawit dunia iaitu Indonesia, negara jiran itu jelas beliau meletakkan harga yang jauh lebih mahal berbanding dengan Malaysia.

"(Minyak masak) yang disubsidikan adalah yang dalam pek 1kg, harganya dikekalkan pada RM2.50. Tetapi yang dihujahkan pula kita ini negara yang mengeluarkan sawit dan patutnya harganya murah. Ini logik yang tidak boleh diterima.

"Kalau kita nak melihat kepada keadaan yang sebenar bahawa pengeluar sawit yang terbesar adalah Indonesia dan kita nombor dua dalam dunia. Jadi sebab itu kita kena bandingkan keadaan kita dengan Indonesia, harga minyak masak di Indonesia bagi 1 liter ialah di antara RM3.44 sehingga RM4.33 iaitu harga yang tidak disubsidikan berbanding dengan kita yang paket 1kg masih lagi RM2.50.

"Aspek yang harus juga kita lihat, bahawa 1kg itu yang kita jual itu melebihi 1 liter. Dan kalau kita lihat pula kepada penjualan harga di Indonesia mengikut kepada yang tak bersubsidi, iaitu harga di Indonesia tidak bersubsidi. Dan mereka pengeluar sawit yang terbesar," jelas beliau.

Selain itu Shahrir turut menegaskan tiada faedah untuk peniaga menyorokkan bekalan minyak masak daripada pengguna.

"Sebenarnya tidak ada faedah pon untuk mereka menyorok (bekalan). Hanya ia mungkin dari segi pihak KPDNKK kenalah melihat dari segi bekalan itu berterusan dan kawalan perkhidmatan daripada pengeluar yang utama dalam negara ini boleh memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini.

"Masalah ini pada saya mudah untuk diatasi oleh pihak KPDNKK kerana mereka mempunyai pengalaman bagaimana nak mengatasi masalah ini," katanya.

http://klxpress.com.my/parlimen/19536-shahrir-terdapat-usaha-memfakirkan-rakyat.html

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...